AMALAN ZAHIR ADALAH KERANGKA SEDANGKAN ROHNYA ADALAH IKHLAS YANG TERDAPAT DENGAN TERSEMBUNYI DALAM AMALAN ITU.
Amal
lahiriah digambarkan sebagai batang tubuh dan ikhlas pula digambarkan
sebagai nyawa yang menghidupkan batang tubuh itu. Sekiranya kita kurang
mendapat kesan yang baik daripada latihan kerohanian hendaklah kita
merenung dengan mendalam tubuh amal apakah ia bernyawa atau tidak.
Atau
lebih tepat jika dikatakan ikhlas sebagai suasana hati dan hal sebagai
Nur Ilahi yang menyinari hati yang ikhlas. Ikhlas menjadi persediaan
yang penting bagi hati menyambut kedatangan sinaran Nur Ilahi. Apabila
Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya maka
dipancarkan Nur-Nya kepada hati hamba tersebut. Nur yang dipancar kepada
hati ini dinamakan Nur Sir atau Nur Rahsia Allah s.w.t. Hati yang
diterangi oleh nur akan merasai hal ketuhanan atau mendapat tanda-tanda
tentang Tuhan. Setelah mendapat pertandaan dari Tuhan maka hati pun
mengenal Tuhan. Hati yang memiliki ciri atau sifat begini dikatakan hati
yang mempunyai ikhlas tingkat tertinggi. Tuhan berfirman bagi
menggambarkan ikhlas dan hubungannya dengan makrifat:
Dan
sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf
pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia
tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu).
Demikianlah (takdir Kami), untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara
yang tidak baik dan perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari
hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. ( Ayat 24 : Surah
Yusuf )
Nabi Yusuf a.s adalah hamba Allah s.w.t yang ikhlas.
Hamba yang ikhlas berada dalam pemeliharaan Allah s.w.t. Apabila dia
dirangsang untuk melakukan kejahatan dan kekotoran, Nur Rahsia Allah
s.w.t akan memancar di dalam hatinya sehingga dia menyaksikan dengan
jelas akan tanda-tanda Allah s.w.t dan sekaligus meleburkan rangsangan
jahat tadi. Inilah tingkat ikhlas yang tertinggi yang dimiliki oleh
orang arif dan hampir dengan Allah s.w.t. Mata hatinya sentiasa
memandang kepada Allah s.w.t, tidak pada dirinya dan perbuatannya. Orang
yang berada di dalam makam ikhlas yang tertinggi ini sentiasa dalam
keredaan Allah s.w.t baik semasa beramal ataupun semasa diam. Allah
s.w.t sendiri yang memeliharanya. Allah s.w.t mengajarkan agar hamba-Nya
berhubung dengan-Nya dalam keadaan ikhlas.
Dia Yang Tetap
Hidup; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka
sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya
semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam. ( Ayat 65 : Surah al-Mu’min )
Allah
s.w.t jua Yang Hidup. Dia yang memiliki segala kehidupan. Dia jualah
Tuhan sekalian alam. Apa sahaja yang ada dalam alam ini adalah
ciptaan-Nya. Apa sahaja yang hidup adalah diperhidupkan oleh-Nya. Jalan
dari Allah s.w.t adalah nikmat dan kurniaan sementara jalan dari hamba
kepada-Nya pula adalah ikhlas. Hamba dituntut supaya mengikhlaskan
segala aspek kehidupan untuk-Nya. Dalam melaksanakan tuntutan
mengikhlaskan kehidupan untuk Allah s.w.t ini hamba tidak boleh berasa
takut dan gentar kepada sesama makhluk.
Oleh itu maka sembahlah
kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya (dan menjauhi
bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan yang
demikian). ( Ayat 14 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t telah
menetapkan kod etika kehidupan yang perlu dijunjung, dihayati,
diamalkan, disebarkan dan diperjuangkan oleh kaum muslimin dengan
sepenuh jiwa raga dalam keadaan ikhlas kerana Allah s.w.t, meskipun ada
orang-orang yang tidak suka, orang-orang yang menghina, orang-orang yang
membangkang dan mengadakan perlawanan. Keikhlasan yang diperjuangkan
dalam kehidupan dunia ini akan dibawa bersama apabila menemui Tuhan
kelak.
Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala
perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu
(kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang,
dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kepada-Nya semata-mata;
(kerana) sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian
pula) kamu akan kembali (kepada-Nya)”. ( Ayat 29 : Surah al-A’raaf )
Sekali pun sukar mencapai peringkat ikhlas yang tertinggi namun,
haruslah diusahakan agar diperolehi keadaan hati yang ikhlas dalam
segala perbuatan sama ada yang lahir mahu pun yang batin. Orang yang
telah tumbuh di dalam hatinya rasa kasihkan Allah s.w.t akan berusaha
membentuk hati yang ikhlas. Mata hatinya melihat bahawa Allah jualah
Tuhan Yang Maha Agung dan dirinya hanyalah hamba yang hina.
Hamba
berkewajipan tunduk, patuh dan taat kepada Tuhannya. Orang yang di
dalam makam ini beramal kerana Allah s.w.t: kerana Allah s.w.t yang
memerintahkan supaya beramal, kerana Allah s.w.t berhak ditaati, kerana
perintah Allah s.w.t wajib dilaksana, semuanya kerana Allah s.w.t tidak
kerana sesuatu yang lain. Golongan ini sudah dapat menawan hawa nafsu
yang rendah dan pesona dunia tetapi dia masih melihat dirinya di samping
Allah s.w.t. Dia masih melihat dirinya yang melakukan amal. Dia gembira
kerana menjadi hamba Allah s.w.t yang beramal kerana Allah s.w.t. Sifat
kemanusiaan biasa masih mempengaruhi hatinya.
Setelah
kerohaniannya meningkat hatinya dikuasai sepenuhnya oleh lakuan Allah
s.w.t, menjadi orang arif yang tidak lagi melihat kepada dirinya dan
amalnya tetapi melihat Allah s.w.t, Sifat-sifat-Nya dan perbuatan-Nya.
Apa sahaja yang ada dengannya adalah anugerah Allah s.w.t. Sabar, reda,
tawakal dan ikhlas yang ada dengannya semuanya merupakan anugerah Allah
s.w.t, bukan amal yang lahir dari kekuatan dirinya.
Tingkat ikhlas
yang paling rendah ialah apabila amal perbuatan bersih daripada riak
yang jelas dan samar tetapi masih terikat dengan keinginan kepada pahala
yang dijanjikan Allah s.w.t. Ikhlas seperti ini dimiliki oleh orang
yang masih kuat bersandar kepada amal, iaitu hamba yang mentaati
Tuannya kerana mengharapkan upah daripada Tuannya itu.
Di bawah
daripada tingkatan ini tidak dinamakan ikhlas lagi. Tanpa ikhlas
seseorang beramal kerana sesuatu muslihat keduniaan, mahu dipuji, mahu
menutup kejahatannya agar orang percaya kepadanya dan bermacam-macam
lagi muslihat yang rendah. Orang dari golongan ini walaupun banyak
melakukan amalan namun, amalan mereka adalah umpama tubuh yang tidak
bernyawa, tidak dapat menolong tuannya dan di hadapan Tuhan nanti akan
menjadi debu yang tidak mensyafaatkan orang yang melakukannya. Setiap
orang yang beriman kepada Allah s.w.t mestilah mengusahakan ikhlas pada
amalannya kerana tanpa ikhlas syiriklah yang menyertai amalan tersebut,
sebanyak ketiadaan ikhlas itu.
(Amalkanlah perkara-perkara itu)
dengan tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu
pun dengan-Nya. (Ayat 31 : Surah al-Hajj )
“Serta (diwajibkan
kepadaku): ‘Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan
perintah-perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau
menjadi dari orang-orang musyrik’”. Dan janganlah engkau (wahai
Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat
mendatangkan manfaat kepadamu dan tidak juga dapat mendatangkan mudarat
kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka
pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim
(terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). ( Ayat 105 &
106 : Surah Yunus )
Daging dan darah binatang korban atau hadiah
itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai
kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.
(Ayat 37 : Surah al-Hajj )
Allah s.w.t menyeru sekaligus supaya
berbuat ikhlas dan tidak berbuat syirik. Ikhlas adalah lawan kepada
syirik. Jika sesuatu amal itu dilakukan dengan anggapan bahawa ada
makhluk yang berkuasa mendatangkan manfaat atau mudarat, maka tidak ada
ikhlas pada amal tersebut. Bila tidak ada ikhlas akan adalah syirik
iaitu sesuatu atau seseorang yang kepadanya amal itu ditujukan. Orang
yang beramal tanpa ikhlas itu dipanggil orang yang zalim, walaupun pada
zahirnya dia tidak menzalimi sesiapa.
Intisari kepada ikhlas adalah
melakukan sesuatu kerana Allah s.w.t semata-mata, tidak ada kepentingan
lain. Kepentingan diri sendiri merupakan musuh ikhlas yang paling
utama. Kepentingan diri lahir daripada nafsu. Nafsu inginkan kemewahan,
keseronokan, kedudukan, kemuliaan, puji-pujian dan sebagainya. Apa yang
lahir daripada nafsu itulah yang sering menghalang atau merosakkan
ikhlas
SYARAH AL-HIKAM oleh Syaik Ibnu Athoillah As-Sukandari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan