1. Menahan
menguap sekadar termampu:* Diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu
Hurairah r. a., daripada Nabi Muhammad s. a. w., bahwasanya baginda
bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah Ta'ala suka orang yang
bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu
bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillaah', maka adalah hak atas
setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamukallaah!'.
Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu
menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya
apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya.
2.
Meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap:* Diriwayatkan
oleh Muslim daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda
Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: Apabila seseorang kamu menguap,
hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya
syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka). Kebanyakan ulama
menghukumkan sunnat meletakkan tangan di mulut ketika menguap, sama ada
di dalam sembahyang ataupun di luarnya.
3. Makruh mengangkat suara ketika
menguap:* Diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad dan At-Termizi daripada nabi
Muhammad s. a. w. katanya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah suka kepada
orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka
apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi haaa haaa, kerana
yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu. Ibnu As-Sunni
telah meriwayatkan pula daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., katanya:
Telah bersabda Rasullah s. aw. yang bermaksud: Sesungguhnya Allah
azzawajalla membenci mengangkat suara ketika menguap dan bersin. Ada
diriwayatkan iaitu apabila seseorang itu dapat menahan menguap, lalu dia
berkhayal dalam ingatannya, bahawasanya Nabi alaihis-salam tidak pernah
menguap sama sekali, niscaya akan hilang perasaan hendak menguap itu
dengan izin Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan